Secara perspektifnya teori
konstruktivis kognitif ini, pembelajaran dianggap satu proses aktif yang
melibatkan memperoleh pengetahuan baru dan mengubahsuai pengetahuan sedia ada.
Menurut Piaget (1967), penyesuaian merupakan fungsi yang mengawal semua
perkembangan manusia, termasuk pembelajaran. Penyesuaian dikatakan berlaku
melalui dua proses asas iaitu asimilasi dan akomodasi. Asimilasi adalah proses
memadankan pengetahuan baru ke dalam skema sedia ada manakala akomodasi adalah
pengubahsuaian skema buat sementara waktu atau secara tetap. Kedua-dua proses
ini dianggap penting dalam mengurangkan sebarang konflik kognitif yang mungkin
wujud lalu membawa kepada pembelajaran yang berguna.
Dari perspektif teori konstruktivis
sosial pula, interaksi sosial dapat mempengaruhi perkembangan kognitif pelajar
(Vygotsky, 1978). Ini disebabkan apabila berlakunya interaksi sosial, seseorang
pelajar dipaksa memasuki zon perkembangan proksimal iaitu pelajar diberi
peluang mencapai potensi perkembangan mental yang wujud sama ada dengan
bimbingan seorang dewasa atau melalui kolaborasi dengan rakan-rakan sebaya yang
lebih matang inteleknya. Alat-alat psikologi serta komunikasi interpersonal
dikatakan menolong menyumbang kepada fungsi mental yang lebih tinggi.
Menurut Phillips (1995), terdapat
tiga ciri utama pada seseorang pelajar konstruktivis iaitu bersifat aktif,
sosial dan kreatif. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa pembelajaran yang
bersifat aktif mungkin membolehkan seseorang pelajar mengingati dan memahami
pelajaran dengan lebih baik serta dapat menggunakan pengetahuan yang diperoleh
dengan aktif. Pembelajaran yang bersifat sosial pula dikatakan biasanya memupuk
pembelajaran manakala pembelajaran yang bersifat kreatif memberi semangat
belajar kepada pelajar dan membolehkan pelajar memahami pelajaran dengan lebih
mendalam (Perkins, 1999). Ini selaras dengan pendapat Confrey (1990) yang
menyatakan bahawa seseorang pelajar konstruktivis serba sedikit sedar akan
proses pembinaan pengetahuan dan dapat mengubah/meminda proses tersebut melalui
refleksi yang disedari oleh diri sendiri. von Glasersfeld (1995) turut percaya
bahawa pembelajaran bukan fenomena yang melibatkan rangsangan-gerak balas;
malah ia memerlukan kawalan kendiri dan pembinaan struktur-struktur konseptual
melalui proses refleksi dan abstraksi.
Menurut teori keluwesan kognitif
yang dikemukakan oleh Spiro dan Jehng (1990), “keluwesan kognitif” merujuk
kepada kebolehan untuk menstruktur semula pengetahuan secara spontan dalam
banyak cara, sebagai tindak balas penyesuaian terhadap tuntutan yang berubah secara radikal mengikut
keadaan/situasi. Keluwesan kognitif ini bergantung kepada cara
pengetahuan diwakili dan proses yang beroperasi berdasarkan perwakilan mental
tersebut. Perhimpunan skema (schema assembly) dititikberatkan berbanding
pemerolehan semula sesuatu skema secara bulat (intact schema retrieval). Dari
itu, bukan sahaja pemahaman dibina dari pengetahuan sedia ada, tetapi
pengetahuan sedia ada juga dibina bersesuaian dengan tuntutan pembelajaran.
Unsur penting adalah penggunaan semula pengetahuan sedia ada secara luwes.
Seseorang pelajar dapat memahami sesuatu yang baru dengan memperolehi semula
dan menghimpun skema-skema yang berkaitan dengan situasi pembelajaran untuk
membina pengetahuan baru.
Teori keluwesan kognitif berfokus
kepada pembelajaran di mana domain pengetahuan adalah kompleks dan kurang
berstruktur (ill-structured) (Spiro, Coulson, Feltovich dan Anderson,
1992). Teori ini dengan sengajanya menyediakan pelbagai perspektif atau
tafsiran isi kandungan yang ingin diajar. Metafora “silang-menyilang
pemandangan pedalaman” atau “thematic criss -crossing” diguna pakai
kerana pelajar digambarkan silang-menyilang intelek domain pengetahuan dengan
meninjaunya dari pelbagai perspektif atau melalui pelbagai tema.
Teori
ini memberi model konseptual untuk mereka bentuk persekitaran pembelajaran
untuk menyokong pemerolehan pengetahuan pada peringkat lanjutan. Ia memberi penekanan kepada konteks pembelajaran kerana ia
menganggap maklumat yang diperoleh dalam konteks dunia nyata lebih
senang disimpan. Juga, ini menghasilkan pembelajaran yang lebih generatif, pada
aras yang lebih tinggi serta lebih bermakna. Apa yang dipelajari dapat
dipindahkan dengan lebih meluas dan lebih jitu (Spiro et al., 1991)
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan JEJAK anda :)