Friday, December 28, 2012

Teori Behaviorisme (Teori tingkah laku)


Pada awal abad ke-20,diantara aliran pemikiran yang mendominasi bidang psikologi sosial adalah aliran behaviorisme .Aliran ini di pelopori oleh John B .Watson (1878-1958) seorang ahli psikologi Amerika.Beliau  mendapat pendidikan dalam bidang psikologi haiwan di universiti Chicago. Teori behaviorisme  atau teori tingkah laku yang di pelopori oleh Watson ini mengkaji bagaimana organisma mempelajari dan memberi respon terhadap persekitarannya. Teori ini mula memperlihatkan pengaruhnya dan muncul sebagai aliran paling berpengaruh di kalangan ahli psikologi menjelang awal 1900-an.Teori ini kemudiannya dikembangkan antara lainnya oleh Edward L Thorndike,B.F Skinner, Pavlov.
Matlamat Watson dan pengikutnya adalah untuk mengkaji tingkah laku yang boleh diperhati secara langsung, bukannya kandungan fikiran sedar seperti yang dilakukan oleh Wundt. Watson berpendapat kaedah kajian makmal adalah lebih terkawal.Aliran behaviorisme ini menumpukan perhatian kepada aspek pembelajaran dan peranan rangsangan luaran ke atas tingkah laku manusia.  Penegasan pengikut behaviorisme terhadap kaedah eksperimen terkawal sememangnya wajar dipertahankan
Teori behaviorisme mementingkan tingkah laku luaran seperti gerak balas kognitf, motor dan emosi seseorang yang dapat diperhatikan.Mereka percaya bahawa tingkah laku manusia biasanya ditentukan oleh matlamat yang dibentuk oleh mereka sendiri.Oleh itu tingkah laku seseorang itu akan sentiasa menuju matlamat ini, seperti yang dinyatakan oleh Rotter(1964):
“Seseorang individu akan bertindak balas dengan tingkah laku yang akan memberinya kepuasan yang paling tinggi dalam situasi yang tertentu.Motif manusia melakukan sesuatu tingkah laku selalunya dibentuk melalui pengalaman, dan lama kelamaan seseorang individu itu akan membentuk satu set motif atau keperluan yang boleh ditentukan.”



Ahli behaviorisme berpendapat bahawa alam persekitaran menentukan tingkah laku seseorang ataupun tingkah laku seseorang itu dibentuk kerana keadaan persekitaran.Tingkah laku dipelajari apabila mereka bertindak dengan berbagai-bagai rangsangan yang ada di persekitaran itu yang akhirnya membentuk personality seseorang.
Watson dan pengikut teori behaviorisme juga menegaskan, tingkah laku manusia boleh ditempa dan diubah tanpa sebarang batasan dengan menggunakan prinsip tingkah laku.Setiap akibat sesuatu gerak balas dianggap memainkan peranan menentukan tingkah laku manusia.
Teori tingkah laku mengemukakan hujah yang mana introspeksi iaitu ʻmemerhati persepsi dan perasaan diriʼ tidak boleh di percayai.Sebaliknya melihat dan membahagikan tingkah laku pada unit-unit yang dikenali sebagai gerak balas dan persekitaran kepada unit-unit yang di panggil rangsangan. Teori ini juga menekankan sesuatu rangsangan itu dapat diikuti oleh satu gerak balas.Dan kedua-dua rangsangan dan gerak balas ini dilihat saling berkaitan dan membentuk satu perhubungan yang berfungsi.
Bagi mengukuhkan lagi perhubungan antara rangsangan-rangsangan gerak balas  ini, faktor peneguhan atau reinforcement ditekankan.Peneguhan merujuk kepada hakikat sesuatu peristiwa itu dapat menguatkan lagi kebarangkalian ke atas sesuatu gerak balas dengan adanya peneguhan.
Kejayaan behaviorisme bukan sahaja kerana teori ini menawarkan huraian yang dianggap sahih tentang tabii tingkah laku manusia bahkan menjanjikan penerapan praktikal dalam menangani persoalan yang melibatkan kehidupan harian manusia.Teori ini melihat bagaimana organisma mempelajari dan membuat gerak balas terhadap persekitarannya.
Pengikut teori tingkah laku ini juga begitu yakin dan berusaha menentukan setiap prinsip tingkah laku dan hasil penyelidikan mempunyai implikasi di luar makmal .Setiap akibat sesuatu gerak balas dianggap memainkan  peranan menentukan tingkah laku manusia.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan JEJAK anda :)

made in SABAH